Aug 03, 2022 - FASPasukan Selangor B21 berjaya mara ke Separuh Akhir Piala Presiden 2022 setelah menewaskan Sabah FC di pentas Suku Akhir dengan kemenangan agregat 4-1 baru-baru ini.
Sebelum ke Suku Akhir, skuad kendalian Shaiful Nizam telah berjaya meletakkan pasukan di tempat kedua Kumpulan B dengan 25 mata terkumpul daripada tujuh kemenangan, empat seri dan satu kalah.
Menurut Shaiful Nizam, Ketua Jurulatih Selangor B21, janji mereka menjadi faktor kejayaan pasukan setakat ini.
“Pemain-pemain saya telah berikan yang terbaik dalam setiap pertemuan. Kerjasama dan disiplin mereka di dalam dan luar padang membantu pasukan untuk berada di tahap ini.
Sejak pemergian Allahyarham Husni Idrus, bekas pemain tunjang Selangor B21 yang telah pergi pada bulan Mei yang lalu, semua pemain berjanji untuk meneruskan perjuangan arwah sehingga tamat wisel perlawanan. Semangat rakan seperjuangan yang mereka tunjuk sangat tinggi,” katanya.
Sebelum tamat perbualan, Shaiful Nizam sempat memberi kata-kata semangat kepada anak buahnya, “Saya mahu mereka semua untuk terus bekerja keras bagi melayakkan diri ke pusingan Akhir!”
Pasukan Selangor B21 akan berdepan dengan JDT III di pentas Separuh Akhir Piala Presiden 2022 pada 8 dan 15 Ogos ini.
Selangor FC mengucapkan tahniah di atas pencapaian Gergasi Merah B21 dalam saingan Piala Presiden 2022. Semoga pasukan dapat beraksi dengan cemerlang di pentas Separuh Akhir nanti. Ayuh, Young Giants!
Demi Kebanggaan!